WACANA NASKHAH SASTERA TRADISIONAL NEGERI SEMBILAN

 

Wacana Sastera

 

Tarikh : 16 Ogos 2017 (Rabu)

Tempat : Auditorium D’Sury, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan, Seremban

 

Naskhah Melayu lama merupakan sebahagian daripada karya agung Melayu yang sangat bernilai yang mengandungi pelbagai bidang ilmu. Naskhah-naskhah ini perlu difahami, dikaji, diamalkan dan diperturunkan untuk generasi masa kini supaya ilmu yang terkandung di dalamnya dapat dimanfaatkan demi memperkasakan tamadun Melayu masa kini dan akan datang. Pendekatan terkini yang ditekankan adalah dengan melihat naskhah-naskhah itu sebagai khazanah bangsa dari aspek persejarahan, keintelektualan, kebudayaan dan epistemology Melayu.

Program ini merupakan kesinambungan daripada program Siri Kajian Naskhah Sastera Tradisional Kesultanan Melayu yang telah dilaksanakan sebelum ini. Sebanyak sembilan kajian telah dilakukan iaitu Kesultanan Melayu, Siri Kesultanan Melayu Kelantan, Kesultanan Melayu Kedah, Kesultanan Melayu Terengganu, Kesultanan Melayu Johor, Kesultanan Melayu Pahang, Kesultanan Melayu Kepulauan Borneo, Kesultanan Melayu Selangor dan Kesultanan Melayu Perak. Setiap kajian ini menghuraikan secara terperinci naskhah-naskhah penting bagi setiap negeri yang bertujuan untuk membentuk jati diri, akal budi dan sosiobudaya masyarakat Melayu.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan telah mengadakan Wacana Naskhah Sastera Tradisional Negeri Sembilan bertemakan “Negeri Sembilan Dalam Naskhah-naskhah Melayu” di Auditorium D’Sury, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan, Seremban. Majlis perasmian wacana ini telah disempurnakan oleh Y.Bhg Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais bin Yatim, Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia.

Hadir sama adalah Y.Bhg Datuk Haji Abang Sallehuddin bin Abg. Shokeran, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka, Y.Bhg Dato’ Sri Syed Danial bin Syed Ahmad, Ahli Lembaga Pengelola yang juga Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Y.Bhg Encik Mohd Radzi bin Omar, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan dan Y.Bhg Encik Aziz bin Haji Mohd Gorip, Pemangku Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan. Seramai 300 orang peserta telah menghadiri wacana yang berlangsung selama sehari ini yang terdiri daripada jabatan dan agensi peringkat negeri dan persekutuan, penghulu-penghulu luak, penyandang-penyandang pesaka adat, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), guru-guru, pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Pembentang kertas kerja yang diundang khas dalam program keilmuan ini adalah terdiri daripada Y.Bhg Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria bin Ghazali, Universiti Malaya, “Asal Usul Penghulu Negeri Sembilan : Menjejaki Maklumat Asal Usul, Adat dan Hak Penghulu Negeri Sembilan daripada Sebuah Naskhah Melayu”, Y.Bhg Profesor Dr. Jelani bin Harun, Universiti Sains Malaysia, “Undang-undang Sungai Ujong : Sebuah Karya Agung dari Negeri Sembilan”, Y.Bhg Dr. Haji Muhammad Pauzi bin Abd Latif, Universiti Putra Malaysia, “Pentingnya Manuskrip Melayu Negeri Sembilan sebagai Sumber Kajian Sejarah”, Y.Bhg Encik Mahdi bin Shuid, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, “Beraja ke Johor, Bertali ke Siak, Bertuan ke Minangkabau : Survival Masyarakat Minangkabau di Wilayah Cengkaman Bugis di Semenanjung Tanah Melayu Abad ke-17 hingga 19”, Y.Bhg Encik Ahmad Farhan bin Abdullah Zakaria, Universiti Kebangsaan Malaysia, “Surat-menyurat Keturunan Dato’ Ungku Klang (Selangor), Kerabat Raja dan Pembesar Negeri Sembilan : Menelaah Tarikh Penguasaan dan Pentadbiran Seri Menanti” dan Y.Bhg Encik Mohd Khairil Hisham bin Mohd Ashaari, penyelidik bebas sejarah dan budaya Negeri Sembilan, “Linggi Gerbang Ketamadunan Negeri Sembilan”.

Manakala moderator pula adalah Y.Bhg Dr. Mohd Hanafi bin Ibrahim, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka dan Y.Bhg Puan Kamariah binti Abu Samah, Ketua Pusat Dokumentasi Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka. Selain daripada itu, juga turut diadakan pameran dan jualan buku terbitan Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Perasmian penutup wacana ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Abd. Razak bin Ab. Said, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu, Negeri Sembilan. Hadir sama adalah Y.Bhg Puan Hajah Padilah binti Haji Ali, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka. Tetamu kehormat dan hadirin hadirat yang hadir kemudiannya telah menyanyikan lagu Jalur Gemilang sambil mengibarkan bendera sempena mengambil semangat sambutan bulan kemerdekaan negara yang ke-60.

ORANG AWAM
SENARAI MUZIUM
WARGA LMNS

127 Department of Museums Malaysiajohor kedah kelantan melaka pahang perak perlis sabah pp selangor swk tganu