PEMASANGAN BENDERA JALUR GEMILANG SEMPENA SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN NEGARA KE-60

 

Merdeka2017

 

 

Tarikh : 31 Julai 2017 (Isnin)

Tempat : Perkarangan Lembaga Muzium Negeri Sembilan

 

Semangat merdeka. Itulah yang dapat digambarkan apabila melihat seluruh perkarangan Muzium Negeri, Seremban dihiasi dengan bendera Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kemerdekaan negara ke-60. Difahamkan sudah menjadi tradisi ia dipasang setiap kali tibanya sambutan bulan kemerdekaan negara. Sebanyak 60 batang bendera Jalur Gemilang telah dipasang oleh kakitangan muzium bermula pada 27 Julai 2017 untuk menjadikan suasana bulan kemerdekaan disambut dengan penuh patriotik.

Menurut Y.Bhg Encik Aziz bin Haji Mohd Gorip, Pemangku Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan dengan memasang bendera bukan sahaja menyahut saranan agar bendera kebangsaan berkibar di semua premis kerajaan malahan mengimarahkan lagi kedatangan bulan kemerdekaan yang disambut pada setiap kali datangnya bulan Ogos. Selain daripada itu, pengunjung yang datang akan dapat merasakan semangat merdeka melalui bendera Jalur Gemilang yang dipasang dan berkibar di perkarangan muzium.

Semangat merdeka bukan sahaja seharusnya ditunjukkan dengan menyambut setiap kali datangnya 31 Ogos malahan juga dengan mengibarkan bendera sebagai tanda taat setia dan cintakan negara. Tambahnya lagi pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan turut bersama-sama memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan dengan mengadakan pameran khas dan menyertai perbarisan di peringkat negeri di samping program dan aktiviti lain yang berkaitan.

Pada tahun ini pameran yang akan diadakan adalah Pahlawan Yang Tidak Didendang di Muzium Negeri, Seremban. Pameran ini akan mula dibuka kepada orang ramai bermula pada 30 Ogos 2017 setiap hari dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang dan masuk adalah percuma. Sementara itu Sivasanggary a/p Arumugam 22 tahun dari Universiti Malaysia Sarawak berpendapat bahawa semangat merdeka adalah cintakan negara dan perpaduan antara kaum. Sebagai seorang remaja saya harus bersedia daripada sekarang untuk memikul tanggungjawab yang perlu dilaksanakan terhadap pembangunan dan kesejahteraan negara pada masa hadapan.

Manakala bendera pula adalah identiti kebanggaan dan semangat jati diri kita sebagai rakyat Malaysia. Bagi Muhamad Iqbal bin Mohamad Darus 23 tahun dari Universiti Kebangsaan Malaysia semangat merdeka adalah merupakan satu interpretasi dan penghargaan kepada perwira-perwira yang telah berjuang sehingga ke titisan yang penghabisan demi untuk memerdekakan negara daripada cengkaman penjajah. Bendera bukan sahaja satu lambang atau corak rasmi untuk ditayangkan semata-mata tetapi juga adalah merupakan simbol dan bukti bahawa sesebuah negara itu berdaulat.

Pendapat beliau turut dikongsi bersama rakannya Nurhidayah binti Masron 24 tahun dari Universiti Kebangsaan Malaysia di mana semangat merdeka dapat menyemai perasaan untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh dan anasir yang mengganggu gugat keamanan dan keharmonian yang dinikmati. Bendera pula adalah bukti perjuangan pahlawan-pahlawan terdahulu untuk membentuk sebuah negara. Apabila melihat bendera dipasang dan berkibar timbul dalam diri semangat sayang dan cinta pada negara.

ORANG AWAM
SENARAI MUZIUM
WARGA LMNS

127 Department of Museums Malaysiajohor kedah kelantan melaka pahang perak perlis sabah pp selangor swk tganu