SEJARAH PENUBUHAN

Pembinaan Muzium Rembau telah mendapat persetujuan dari Kerajaan Negeri dan Persekutuan dan ia merupakan satu tanggungjawab pengurusan Lembaga Muzium Negeri Sembilan. Muzium ini adalah satu lagi tempat yang boleh dilawati di mana terdapat artifak-artifak dan peninggalan sejarah yang terdapat di daerah Rembau untuk dihayati oleh pengunjung dalam dan luar negeri. Bangunan Muzium Rembau telah siap dibina sepenuhnya. Merujuk kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan N.Sembilan, pengurusan muzium ini akan diserahkan kepada pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan untuk dibuat perjawatan dan pengisian.

Pengisian muzium ini berdasarkan Institusi Undang Luak, Sejarah Rembau dan kedatangan Raja Melewar. Pengisian akan dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti perpustakaan, bilik audio visual, kedai cenderamata dan lain-lain keperluan permuziuman. Bagi tujuan tersebut, pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan telah menjalankan kerja-kerja penyelidikan terutamanya mengumpul koleksi sama ada untuk dipamerkan atau disimpan.

Kerja-kerja pengumpulan bahan sejarah sekitar daerah Rembau bagi tujuan dokumentasi juga dijalankan. Segala bahan didaftarkan seterusnya mengikuti prosedur tuntutan contohnya seperti pemuliharaan. Antara sumbangan yang telah diterima ialah sebuah Rumah Tradisional Melayu Rembau dari Kampung Nerasau, Rembau. Dengan terbinanya Muzium Rembau ini penerangan tentang sejarah dan budaya Rembau serta kedatangan raja-raja ke N.Sembilan diharap dapat dihayati dengan lebih jelas dan berkesan. Di samping itu kompleks ini juga dapat dijadikan sebagai tempat rujukan dan memberi khidmat kepada pengumpul, penyelidik, penuntut dan pencinta sejarah tanahair.

 

Pameran Muzium Rembau

BALAI DATO' UNDANG

Ruangan ini memaparkan sejarah pentadbiran Dato' Undang yang memerintah Rembau berserta dengan alat kebesaran dan pingat yang biasanya digunakan oleh Dato' Undang dalam majlis-majlis rasmi. Di sini juga dipamerkan sistem perlantikan Dato' Undang di Rembau, peranan dan fungsinya kepada masyarakat. Sudut ini juga diisi dengan pengamalan Adat Perpatih di Rembau dan Negeri Sembilan. Selain itu, sistem pantadbiran Dato' Undang Rembau akan diketengahkan. Ruang ini sangat menarik untuk dilawati kerana ruang yang terhad, memaksimakan susunan peralatan dan artifak disamping sistem pencahayaan yang mampu mewujudkan suasana eksklusif.

 

RUANG PELAMINAN

Ruangan ini menyerlah kerana warna merah yang menjadi tema sudut ini. Ia merupakan contoh pelamin yang digunakan oleh masyarakat Rembau yang mana menjadi tempat bersanding mempelai. Komponen pelamin ini adalah bunga telur, alas duduk, tirai belakang, parang-parang dan tepak sirih. Corak yang terpatri atas kain baldu merah terdiri dari benang tekat dan manik serta labuci.

 

Lokasi dan Direktori:-

MUZIUM REMBAU
Kampung Nerasau, Rembau

Tel/Fax: 06-438 3409