LAWATAN PEGAWAI TADBIR DAN DIPLOMATIK (PTD) LANTIKAN BARU

PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI SEMBILAN KE MUZIUM NEGERI

 

 

       Lawatan PTD ke Muzium Negeri

 

 Tarikh : 30 Mei 2018 (Rabu)

Tempat : Muzium Negeri, Seremban

 

Muzium Negeri, Seremban telah menerima lawatan daripada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang baru sahaja melaporkan diri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan pada 24 Mei 2018 yang lalu. Difahamkan mereka yang seramai 4 orang adalah dalam rangka program orientasi dan pengenalan jabatan dan agensi yang terdapat di negeri ini.

Sehubungan dengan itu, selain daripada untuk mengetahui fungsi dan teras perkhidmatan Lembaga Muzium Negeri Sembilan mereka juga berpeluang mengenali dan memahami warisan sejarah serta pengamalan Adat Perpatih yang menjadi kebanggaan di Negeri Sembilan. Ketibaan mereka di Muzium Negeri, Seremban telah disambut oleh Y.Bhg Puan Rosrita binti Mohamad Nordin, Kurator Bahagian Pentadbiran dan Kewangan Lembaga Muzium Negeri Sembilan mewakili Y.Bhg Encik Aziz bin Haji Mohd Gorip, Pemangku Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan.

Turut menyambut ketibaan mereka adalah pegawai dan kakitangan Lembaga Muzium Negeri Sembilan. Sesi lawatan bermula dengan mereka mendengar taklimat mengenai struktur organisasi termasuk peranan dan tanggungjawab Lembaga Muzium Negeri Sembilan dalam memulihara dan mengekalkan warisan sejarah dan budaya milik negeri ini menerusi pameran dan penyelidikan. Selepas mendengar taklimat tersebut mereka kemudiannya telah dibawa untuk melawat galeri pameran dan melihat artifak yang terdapat di Muzium Negeri, Seremban sambil diiringi oleh Y.Bhg Puan Rosrita binti Mohamad Nordin dan Y.Bhg Puan Masita binti Md Yusoff, Penolong Kurator Kanan Unit Pameran Bahagian Pengurusan Muzium Lembaga Muzium Negeri Sembilan.

Ketika melawat galeri pameran mereka telah mendengar penerangan yang diberikan oleh Y.Bhg Puan Rosrita binti Mohamad Nordin dan Y.Bhg Puan Masita binti Md Yusoff. Menurut Y.Bhg Puan Rosrita binti Mohamad Nordin melalui pameran ini mereka dapat mengetahui bahawa bangunan Teratak Perpatih yang menempatkan Galeri Sejarah dan Galeri Adat Perpatih terbahagi kepada dua bahagian.Bahagian pertama di tingkat bawah mempamerkan susur masa Sejarah Negeri Sembilan.

Pameran bagi galeri sejarah terbahagi kepada segmen-segmen mengikut susur masa peristiwa-peristiwa yang dilalui sejak kedatangan peneroka Orang Asal sehingga Negeri Sembilan kini. Ujarnya sebahagian besar koleksi yang dipamerkan adalah perolehan dari sumbangan dan pembelian daripada individu-individu tertentu dan pengumpul artifak. Tambahnya lagi menerusi lawatan ini juga mereka dapat mengetahui bahawa tujuan utama penubuhan galeri ini di Muzium Negeri, Seremban adalah untuk menyediakan informasi bergambar dan penulisan berkaitan sejarah pembentukan awal Negeri Sembilan hingga kini serta mempamerkan koleksi termasuk dokumen yang mempunyai nilai estetika dengan sejarah Negeri Sembilan.

Selain daripada itu katanya galeri ini turut menyediakan ruang kepada penyelidik dan peminat sejarah untuk membuat penyelidikan terhadap keunikan sistem beraja Negeri Sembilan di samping memperingati dan menghargai sumbangan serta jasa pemerintah dalam membangunkan Negeri Sembilan khususnya dan negara amnya. Kesimpulannya apa yang dapat saya katakan adalah mereka benar-benar berasa teruja dan kagum dengan warisan sejarah dan budaya yang tersimpan serta dipamerkan di Muzium Negeri, Seremban.

Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi rasa penghargaan dan terima kasih di atas kesudian mereka sebagai pegawai baru yang berkhidmat di Negeri Sembilan mengadakan kunjungan ke Muzium Negeri, Seremban. Sesungguhnya kunjungan mereka ini bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan mengenai sejarah dan budaya Negeri Sembilan tetapi juga turut menyumbang kepada jumlah kedatangan pengunjung ke Muzium Negeri, Seremban.

Saya juga ingin mengucapkan selamat bertugas kepada mereka dan berharap akan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar yang baru. Ketika ditanya mengenai jumlah kedatangan pengunjung Muzium Negeri, Seremban pada bulan Januari hingga Mac beliau menjawab bahawa seramai 22,928 pengunjung daripada tempatan dan luar telah berkunjung ke Muzium Negeri, Seremban. Ini menunjukkan bahawa Muzium Negeri, Seremban adalah merupakan antara destinasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi di negeri ini. Beliau juga berharap agar jumlah kedatangan pengunjung akan terus meningkat sehingga ke akhir tahun ini.

ORANG AWAM
SENARAI MUZIUM
WARGA LMNS

127 Department of Museums Malaysiajohor kedah kelantan melaka pahang perak perlis sabah pp selangor swk tganu