BENGKEL FOTOGRAFI DAN VIDEOGRAFI – MUZOOM

 

 

       Bengkelvideo

 

 Tarikh  : 30 Jun 2018 (Sabtu)

Tempat : Bilik Tayangan Muzium Negeri Seremban.

 

Kemahiran dan seni fotografi serta videografi semakin mendapat perhatian ramai dan menjadi salah satu aspek penting pada masa kini. Boleh dikatakan setiap majlis, program dan aktiviti yang diadakan memerlukan jurufoto dan juruvideo bagi merakamkan perjalanan program serta aktiviti-aktiviti menarik yang akan menjadi memori indah pada suatu hari nanti. Selain daripada itu, kemahiran ini juga semakin menjadi permintaan ramai dan popular di samping boleh dijadikan karier bagi seseorang yang amat meminati bidang ini dan mempunyai bakat tersebut.

Dikaitkan seni fotografi dengan aspek seni, budaya dan warisan, ia memerlukan satu bidang yang luas dan menarik untuk diterokai. Walaupun aspek seni, budaya dan warisan sangat sinonim dengan sejarah masa lampau, tetapi ia sangat digalakkan bagi generasi muda untuk mengambil tahu dan faham tentang perkara ini.

Menyedari bahawa kemahiran dan seni fotografi dapat menarik minat dan penglibatan generasi muda untuk mendekati aspek seni, budaya dan warisan maka Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Axiata Young CEO Development Programme (YCDP) telah mengadakan Bengkel Fotografi dan Videografi – Muzoom di Muzium Negeri, Seremban sebagai inisiatif bagi menarik minat orang ramai untuk mengetahui dan memahami bidang seni, budaya dan warisan. Seterusnya mereka akan terpanggil untuk melawat muzium bagi memahami sesuatu sejarah dengan lebih mendalam lagi. Secara amnya terdapat pelbagai kesedaran dan langkah dalam menarik minat orang ramai untuk melawat ke muzium dan oleh yang demikian maka pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Axiata Young CEO Development Programme (YCDP) telah memberikan tumpuan terhadap inisiatif ini di mana fotografi dan videografi memainkan peranan yang tangkas iaitu lebih mudah dan cepat dikongsi serta disebarkan menerusi pelbagai medium pada masa kini dan ia merupakan usaha yang berpanjangan dan berterusan.

Difahamkan bengkel ini telah disertai oleh seramai 30 orang yang terdiri daripada Pertubuhan Kebajikan Kanak-kanak Seremban, Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan, Rumah Anakku Sayang Ar Rayyan dan Shekinah Care Center. Penceramah yang diundang khas dalam bengkel ini adalah Y.Bhg Puan Loh Me Ping, Pensyarah Kolej Tunku Abdul Rahman.

Menurut Cik Nurul Afini binti Abdul Razak daripada Axiata Young CEO Development Programme (YCDP) merangkap Pengarah Program tujuan utama bengkel ini diadakan adalah untuk menggalakkan golongan muda untuk mengetahui dan memahami seni, budaya dan warisan Negeri Sembilan dengan pendekatan fotografi dan videografi serta berkongsi ilmu tentang kemahiran kedua-dua bidang tersebut dengan mendedahkan cara penggunaan kamera di samping untuk mempromosikan muzium melalui cara pengendalian program dalam pelbagai bentuk lain sebagai langkah publisiti yang boleh dilakukan pada masa hadapan.

Melalui bengkel ini juga pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Axiata Young CEO Development Programme (YCDP) mensasarkan untuk menarik minat orang ramai untuk berkunjung ke muzium bagi mengetahui bukan sahaja tentang sejarah tetapi tentang seni, budaya dan warisan. Ini adalah merupakan salah satu daripada usaha kedua-dua belah pihak dalam menyampaikan rasa kesyukuran dan penghargaan kepada seni, budaya dan warisan masing-masing. Selain daripada bengkel para peserta juga telah mengadakan lawatan ke galeri pameran Muzium Negeri, Seremban dan menyertai peraduan fotografi dan videografi.

ORANG AWAM
SENARAI MUZIUM
WARGA LMNS

127 Department of Museums Malaysiajohor kedah kelantan melaka pahang perak perlis sabah pp selangor swk tganu