MAJLIS PELANTIKAN DAN PENGISYTIHARAN PUAN SALMI BINTI ABDUL MAJID SEBAGAI IBU SOKO YTM DATO’ MENDIKA MENTERI AKHIRULZAMAN, DATO’ HAJI MAAROF BIN HAJI MAT RASHAD UNDANG LUAK JELEBU

13 Jun 2026 (Sabtu) | 9.30 Pagi | Telapak Kemin, Kg. Kemin, Jelebu

Pada 13 Jun 2026 (Sabtu) telah diadakan satu majlis pelantikan dan pengisytiharan Ibu Soko YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Undang Luak Jelebu. Pelantikan ini di buat  susulan Ibu Soko yang terdahulu telah kembali ke rahmatullah baru-baru ini.

Majlis ini telah diadakan di Telapak Kemin, Kampung Kemin, Jelebu Negeri Sembilan. Turut mencemar kaus hadir ialah YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman, Dato’ Haji Maarof bin Haji Mat Rashad Undang Luak Jelebu dan YAM Tok Puan Hajjah Mahawa binti Haji Mohd Som.

Turut hadir bersama-sama ialah YM Dato’ Ombi Pangkal Maharaja Lela Rusli bin Abdullah (Kepala Talian Pesaka), YM Dato’ Maharaja Inda Berahan bin Ujang (Dato Lembaga Waris Berundang Kemin), YM Dato’ Mengiang Merah Bangsa Zainul Ariffin bin Abd Aziz (Dato’ Lembaga Tiang Balai Undang Luak Jelebu, Lembaga Suku Mungkal), YM Dato’ Cincang Maharaja Lela Mahadi bin Mohamad Dom (Lembaga Suku Tanah Datar), YM Dato’ Senara Angsa Abdul Rahman bin Sabtu (Lembaga Suku Batu Belang), YM Dato’ Amar Penghulu Adnan bin Abdul Malik dan YM Dato’ Syahbandar Zaini bin Abdul Aziz (Orang-orang Besar YTM Undang Luak Jelebu), YM Dato’ Lela Wangsa Seri Dewangsa Mohd Razali bin Haji Zainal Abidin dan YM Dato’ Muda Kenaboi Usalludin bin Syarif Hassan (Orang-Orang Besar YM Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari), YM To’ Menti Penghulu Mohamad Irwandi bin Yusof (Buapak Waris Berundang Kemin Kemin), YM To’ Lela Setia Nor Iswan bin Alias (Buapak Waris Kemin Teriang), YM Cik Puan Norian binti Abdul Aziz (Pengerusi Persatuan Ibu Soko Luak Jelebu) bersama Cik Puan-Cik Puan jawatankuasa dan ahli-ahli, Ketua-ketua Jabatan Daerah Jelebu serta anak-anak waris.

Bukan tekat sebarang tekat
Tekat dibuat hiasan kota
Bukan hajat sebarang hajat
Hajat mendirikan Adat Pusaka.

Majlis pelantikan dan pemashuran Puan Salmi binti Abdul Majid sebagai Ibu Soko Kebawah Kaus YTM Dato Undang Luak Jelebu dimulakan.

Bak kata Adatnya,

Orang menikah dengan maharnya
Orang beranak nak berupah bidan
Orang hidup nak berbelanja
Orang mati dikharajatkan
Orang berpesaka mengisi Adat dan Pesakanya.

Majlis dimulakan dengan anak waris Puan Nazatul Yusma binti Mohd Yusof, Puan Suhiza binti Abdul Majid, Puan Suzila binti Abdul Majid, Puan Asmawati binti Abdul Majid dan Puan Norazwani binti Abdul Majid mengiringi dan membawa masuk ke dalam Telapak calon Ibu Soko iaitu Puan Salmi bin Abdul Majid. Kemudian Puan Nazatul Yusma binti Mohd Yusof mewakili anak-anak buah, mengadap Haluan Sembah YM Tok Menti Penghulu Mohamad Irwandi bin Yusof dan YM Tok Lela Setia Nor Iswan bin Alias untuk menyampaikan hasil muafakat dan kesepakatan anak-anak buah untuk melantik Ibu Soko yang dipilih.

Dek kita bersama-sama ni,

Katanya,

Dagang bertempatan
Perahu bertambatan
Orang semenda bertempat semenda
Orang semenda ditempat semenda.

Sebelum majlis pemashuran pelantikan Puan Salmi binti Abdul Majid diteruskan, sewajibnya kita mematuhi perbilangan adat bersendikan hukum, hukum bersendikan syarak, syarak mengata adat menurut. Puan Salmi binti Abdul Majid telah pun berkahwin dan mempunyai suami. Menjadi aturan dan kewajiban kepada para Buapak untuk mendapatkan keizinan dan persetujuan daripada suaminya sebelum dilantik dan dimasyurkan sebagai Ibu Soko.

Seterusnya Buapak Tok Menti Penghulu Mohamad Irwandi bin Yusof menghadap Yang Berbahagia Encik Azmi bin Abdul Rahman suami kepada Puan Salmi binti Abdul Majid bagi memohon izin dan persetujuan untuk melantik dan dimashurkan sebagai Ibu Soko.

Pada pagi ini,
Genaplah ukur dengan jangkanya
Tepatlah masa dan ketikanya.

Kok perak dipakai
Kok sutera dipelihara
Nan diarak dah sampai
Nan di tunggu dah tibo.

Setelah mendapat keizinan, Tok Menti Penghulu, Buapak perut Kemin Kemin mengumumkan dan memashyurkan kepada sidang hadirin sekalian pelantikan Ibu Soko kebawah kaus YTM Dato Undang Luak Jelebu, Dato’ Haji Maarof bin Haji Mat Rashad.

Seterusnya YM Buapak Tok Menti Penghulu Mohamad Irwandi bin Yusof dan Buapak Tok Lela Setia Nor Iswan bin Alias, membawa Ibu Soko Puan Salmi binti Abdul Majid diikuti bersama Puan Ramlah binti Ujang dan Puan Maizatul Yusma binti Mohd Yusof beserta barang-barang iringan mengadap YM Dato’ Maharaja Inda Berahan bin Ujang, Lembaga Berundang Waris Kemin.

Kok sokah nak didonga loghaknyo
Kok tumbang nak di donga loghumnyo
Kok putus, nak di donga lotuihnyo.

Setelah selesai, YM Dato’ Maharaja Inda Berahan bin Ujang membawa Buapak, Ibu Soko dan barang-barang iringan menghadap Haluan sembah Kebawah Kaus Yang Teramat Mulia Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman, Dato’ Haji Maarof bin Haji Mat Rashad dan Haluan sembah Yang Amat Mulia Tok Puan Hajah Mahawa binti Haji Mohd Som untuk menyampaikan pelantikan dan pemashuran Cik Puan Salmi binti Abdul Majid sebagai Ibu Soko YTM Dato’ Undang Luak Jelebu yang baharu.

Selepas istiadat tersebut disempurnakan, maka telah sahlah Cik Puan Salmi binti Abdul Majid sebagai Ibu Soko YTM Dato’ Undang Luak Jelebu yang baharu.

Disediakan oleh;

MOHD RIZAL BIN OTHMAN
Penolong Kurator
Lembaga Muzium Negeri Sembilan
Urus Setia Dana Adat Perpatih Luak Jelebu

Penafian: Lembaga Muzium Negeri Sembilan tidak bertanggungjawab terhadap sebarang lontaran pandangan dan pendapat. Raikan perbezaan dan kita sokong antara satu sama lain

 

Image

Lembaga MuziumNegeri Sembilan

Hubungi Kami

Lembaga Muzium Negeri Sembilan
Jalan Sungei Ujong
70200 Seremban
Negeri Sembilan Darul Khusus

Tel : 06-7631149
Faks : 06-7615355
Emel : muziumn99[at]gmail[dot]com

Jumlah Pelawat

14724036
Today: 21
This Week: 26
This Month: 26
This Year: 1,966
Total: 14,724,036