SEJARAH PENUBUHAN
Istana Lama Seri Menanti adalah istana yang unik diperbuat daripada kayu. Dibina pada 1902 dan siap pada tahun 1908 kerana Istana Pulih telah dibakar oleh askar-askar Inggeris semasa mengejar Yamtuan Antah ketika berlakunya peperangan Bukit Putus. Istiadat perasmian istana ini telah dilakukan oleh DYMM Yang DiPertuan Muhammad Ibni Almarhum Yamtuan Antah. Baginda telah bersemayam di istana ini sehingga tahun 1931 dan baginda berpindah pula ke istana baru yang dibina berhampiran dengan istana lama.
Istana ini setinggi empat tingkat. Pelan asalnya telah direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib. Tukang Kahar telah dianugerahkan gelaran Dato' Panglima Sutan oleh Tuanku Muhammad kerana khidmat beliau. Pelan istana ini telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan, Mr. Woodford dari JKR, Seremban dan telah diluluskan pada bulan November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British.
Istana ini mempunyai 99 batang tiang termasuk empat batang tiang seri yang panjangnya 67 kaki. Keempat-empat tiang ini telah diambil dari Bukit Pergai, Jelebu. Kayu-kayu lain diambil dari Bukit Tinggi iaitu dari jenis kayu penak. Keunikan istana ini ialah ia tidak menggunakan sebarang paku besi tetapi pakunya diperbuat daripada kayu yang dipanggil pasak. Istana ini telah digunakan untuk upacara mengadap yang diadakan tiga tahun sekali. Pada tahun 1926, Pesuruhjaya Tinggi, Sir Lawrence Gullmard telah turut hadir dalam upacara tersebut.
Istana ini juga pernah digunakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk dijadikan Sekolah Menengah Agama Tinggi pada tahun 1959 sehingga tahun 1964. Kemudian istana ini dibiarkan kosong tanpa penghuni sehingga pada tahun 1992, atas kesedaran DYMM Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Istana ini dengan rasminya diwartakan sebagai 'Muzium Diraja'. Perasmiannya telah dilakukan pada 14 Julai 1992 bersamaan 14 Muharram 1413 Hijrah. Pengurusan Muzium Diraja adalah di bawah pentadbiran Muzium Negeri, Negeri Sembilan. Mulai saat inilah Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti telah bertukar wajah dengan mempamerkan koleksi-koleksi keluarga Diraja. Setiap ruang telah diisi tanpa mengubah bentuk asal istana bagi menerangkan fungsi ruang-ruang tersebut. Penambahan bahan koleksi Muzium akan dilakukan dari semasa ke semasa dengan kerjasama pihak istana.
BALAI RONG SERI
Ruangan ini merupakan tempat takhta kerajaan. Di ruangan ini terdapat dua batang seludang dari Minangkabau yang dipegang oleh pengawal. Ianya juga terdapat 7 mata tangga. Di mata pertama dari atas adalah tempat duduk bagi Dato' Seri Amar Diraja, dihadapannya pula tempat duduk Dato' Raja DiWangsa. Anak tangga yang kedua pula adalah tempat Dato' Dagang dan dihadapannya Dato' Akhir. Di mata ketiga hingga keenam adalah tempat duduk Pegawai Penghulu Luak.
Di tangga yang ketujuh ianya dikosongkan. Dibahagian bawah sekali adalah tempat orang-orang mengadap seperti Penghulu Luak yang Empat iaitu  Muar, Jempol, Terachi dan Gunung Pasir juga ahli-ahli Lembaga, ahli mengadap yang lain ialah lapan belas orang disebelah kiri dan dan dibahagian kanan seramai lapan belas orang. Pengapit bagi Tuanku adalah Dato' Gajah manakala Dato' Mangku adalah pengapit bagi Tuanku Ampuan. Di ruangan ini perhiasan dinding pula terdapat gambar-gambar berkaitan kerabat Istana.
BALAI RAJA MUDA
Di bahagian ini tempat Raja Muda dan isteri duduk melihat ayahanda dan bonda menjalankan upacara. Mereka diapit oleh dua orang pengawal. Ia juga dihadiri oleh kerabat diraja dan juga para undangan. di bahagian dinding terdapar gambar-gambar berkaitan.
BILIK BERADU
Bilik ini adalah bilik beradu Tuanku bersama Tuanku Ampuan. Dibilik ini terdapat sebuah katil, almari pakaian, almari perhiasan(solek) juga terdapat sebuah meja kecil dan dua buah kerusi. Kesemua pakaian dan perhiasan diri disimpan di dalam bilik ini. Dibahagian dinding terdapat gambar-gambar berkaitan.
RUANG SANTAPAN
Terdapat satu unit meja yang mempunyai 20 unit kerusi. Di kiri dan kanan ruangan ini terdapat dua buah almari di mana di sini (almari) disimpan beberapa buku rujukan untuk para tetamu. Ruangan ini merupakan tempat para tetamu berbincang juga tempat mereka bersantapan. Di bahagian belakang ruangan ini terdapat jalan untuk pergi kebelakang dapur. Di sebelah kanan terdapat satu rak setinggi tiga tingkat. Di bahagian atas rak yang bertutup tempat untuk meletak gulai atau segala jenis lauk pauk. Ruangan ini juga mempunyai hiasan dinding seperti gambar-gambar dan sebagainya.
Lokasi dan Direktori :-
Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti
71550 Seri Menanti
Kuala Pilah
Tek / Fax : 06-497 9653
Email : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.