MAJLIS PERASMIAN PAHLAWAN YANG TIDAK DIDENDANG

 

 

       Perasmian Merdeka 2017 2

Tarikh : 07 September 2017 (Rabu)

Tempat : Auditorium D’Sury, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan, Seremban

 

Majlis Perasmian Pahlawan Yang Tidak Didendang bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan telah diadakan di Auditorium D’Sury, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan. Pameran anjuran Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Abd. Razak bin Ab. Said, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu.

Hadir sama dalam majlis ini adalah Yang Dihormati DCP Dato’ Ramli bin Hassan, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Khas E1M, Y.Bhg Dato’ ACP Abdullah bin Mohammad Piah, Penolong Pengarah Cawangan Khas E1M, Y.Bhg Encik Aziz Bin Haji Mohd Gorip, Pemangku Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Y.Bhg Encik Mohd Radzi bin Omar, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan.

Bersempena dengan majlis perasmian pameran ini juga telah diadakan satu program keilmuan khas yang bertajuk Bicara Merdeka yang menampilkan ahli panel terdiri daripada Y.Bhg Tan Sri Abdul Rahim bin Mohd Noor, Mantan Ketua Polis Negara, Y.Bhg Datuk Dr. Leong Chee Woh dan Y.Bhg Tuan Kamarudin bin Hashim manakala moderator pula adalah Y.Bhg Encik Mohd Khairil Hisham bin Mohd Ashaari. Seramai 500 orang telah menghadiri program keilmuan ini yang terdiri daripada jabatan dan agensi peringkat negeri dan persekutuan, penghulu-penghulu luak, penyandang-penyandang pesaka adat, guru-guru dan pelajar-pelajar.

Menurut tujuan utama penganjuran pameran secara bersama oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia ini adalah bertujuan untuk adalah untuk menghargai jasa dan pengorbanan anggota-anggota Pasukan ‘F’ dalam menangani ancaman pengganas komunis, mengetengahkan tokoh-tokoh daripada pelbagai kaum yang telah berjasa dan memberikan sumbangan kepada Negeri Sembilan.

Selain daripada itu, pameran ini juga adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi perpaduan masyarakat sejajar dengan slogan 1 Malaysia serta menjadikan muzium sebagai tempat rujukan dan menimba ilmu pengetahuan.

Nikmat kemerdekaan yang kita nikmati hari ini adalah hasil daripada keringat dan titisan darah yang mengalir daripada perjuangan pahlawan-pahlawan yang terdahulu. Demi taat setia dan rasa kecintaan yang tinggi terhadap tanah air mereka sanggup berkorban dan berjuang sehingga ke titisan darah yang penghabisan menentang musuh yang mengganggu gugat keamanan dan kedamaian.

Bagi mereka perjuangan mempertahankan negara adalah lebih mulia tanpa mengharapkan sebarang ganjaran. Mereka berpegang kepada kata-kata azimat “di sini kita hidup di sini juga kita berani mati” dan “biar putih tulang jangan putih mata”.

Demikianlah gagah dan beraninya pahlawan-pahlawan negara berjuang melawan musuh yang cuba untuk berkuasa pada satu ketika dahulu. Justeru itu maka kita khususnya generasi muda yang lahir selepas negara mencapai kemerdekaan seharusnya menghargai jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh mereka yang bergelar sebagai pejuang tanah air.

Pengorbanan mereka bukan sahaja setakat menjadikan nyawa sebagai taruhan malahan meninggalkan isteri, anak dan kaum keluarga demi untuk memastikan negara yang dicintai ini tidak mudah diceroboh dan jatuh ke tangan musuh. Seharusnya kita mengambil semangat dan mencontohi perjuangan mereka agar kemerdekaan negara yang dinikmati sejak daripada 60 tahun yang lalu kekal buat selamanya.

Kita seharusnya bersyukur kerana dapat hidup dalam sebuah negara yang aman dan bebas ke mana sahaja. Namun dalam pada itu kita juga harus berwaspada dengan sebarang bentuk ancaman yang boleh menjadikan negara kita huru-hara dan tidak selamat untuk didiami.

Oleh yang demikian maka kita harus merapatkan barisan dan menangkis sebarang bentuk ancaman yang boleh membawa kepada kebinasaan dan kemusnahan kepada negara. Sekiranya ini dapat kita lakukan maka negara kita akan terus dapat menikmati suasana yang damai dan tenteram.

Sayugia harus kita ingat bahawa walaupun negara kita sudah merdeka namun perjuangan yang ditinggalkan pejuang-pejuang terdahulu harus kita teruskan. Perjuangan yang dimaksudkan bukanlah dengan memikul senjata sepertimana dilakukan oleh mereka tetapi adalah untuk memastikan negara terus mencapai kemakmuran dan pembangunan setanding dengan negara-negara lain di dunia.

Tanggungjawab ini harus kita pikul bersama dengan semangat perpaduan yang kukuh dan jitu serta saling bekerjasama antara satu sama lain. Dengan usaha keras dan semangat kebersatuan yang tinggi matlamat untuk menjadikan negara ini membangun dan makmur dengan melimpah-ruah macam air sungai yang mengalir akan tercapai sepenuhnya.

Saya berharap agar pameran seumpama ini bukan sahaja menjadi sebagai salah satu daripada pengisian utama bersempena dengan sambutan hari kebangsaan negara yang ke-60 peringkat negeri malah menyuntik semangat khususnya ke dalam diri generasi muda memiliki semangat kenegaraan yang tinggi dan tanpa berbelah bagi. Kalau generasi muda terdahulu sanggup menghabiskan usia muda dan tenaga memerangi musuh negara habis-habisan mengapa tidak anak-anak muda yang hidup dalam suasana aman dan damai sepertimana hari ini berbuat demikian.

Di sini saya ingin mencadangkan kepada pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan agar duduk semeja dan berbincang sepertimana yang disebut dalam perbilangan adat “duduk seorang sempit, duduk ramai lapang”. Melalui perbincangan dan berdiskusi adalah diharapkan kedua-dua pihak dapat memikirkan bentuk program dan aktiviti yang perlu diterapkan ke dalam diri para pelajar untuk menjadikan mereka sebagai generasi muda yang mempunyai semangat patriotisme yang berkobar-kobar dan sanggup berkorban apa sahaja demi negara yang tercinta.

Melihat kepada tajuk pameran “Pahlawan Yang Tidak Didendang” sudah pasti mengetengahkan pejuang-pejuang yang namanya tidak segah mereka yang terbilang seperti Leftenan Adnan dan Sarjan Hassan. Namun mereka tetap dianggap sebagai wira dan sumbangan yang mereka berikan adalah setanding dengan kedua-dua pahlawan sepertimana yang telah dinyatakan tadi.

Mungkin nama mereka tenggelam malah tidak dikenali langsung namun bakti dan perjuangan mereka tetap diingati sehingga ke hari ini. Kepada yang masih ada lagi bersama-sama dengan kita hari ini nama mereka tetap segar meniti di bibir kita dan menjadi sumber inspirasi dalam mengekalkan keamanan dan kedamaian negara yang kita nikmati.

Bagi mereka yang telah tiada walaupun jasad berkubur namun budi tetap bertabur dan dikenang buat selama-lamanya. Selain daripada Pasukan F, pameran ini juga turut mengetengahkan tokoh-tokoh yang telah berjasa dalam bidang politik dan fotografi dan antaranya adalah Tuan Haji Mohd Redza bin Haji Muhamad Said, Teh Heng Koon, Mr. M. Nadchatraam dan Tuan Haji Khalil bin Abdul Rahim. Di samping itu juga para pengunjung berpeluang untuk melihat artifak dan medal yang berkaitan.

Saya berharap pengunjung tidak melepaskan peluang dan datang beramai-ramai ke muzium untuk melihat pameran khas ini yang dianjurkan bersama oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia. Semoga dengan penganjuran pameran yang buat julung kalinya diadakan ini akan menyemarakkan dan mengimarahkan lagi sambutan bulan kemerdekaan negara ke-60 peringkat negeri sembilan darul khusus.

Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi rasa penghargaan dan terima kasih kepada barisan ahli panel yang diundang khas untuk menjayakan majlis yang diadakan pada hari ini. Mereka adalah Y.Bhg Tan Sri Abdul Rahim bin Mohd Noor, Y.Bhg Datuk Dr. Leong Chee Woh dan Y.Bhg Tuan Kamarudin bin Hashim.

Semoga perkongsian pengalaman dan perjuangan mereka akan membakar semangat kepada kita untuk menjadi rakyat yang sayang dan setia pada negara sendiri dan menolak dengan sekeras-kerasnya sebarang bentuk mahupun unsur yang membawa kepada pengkhianatan. Tidak lupa juga terima kasih ditujukan kepada mereka yang membantu dan memberikan kerjasama untuk membantu menjayakan dari mula hingga akhir program yang berlangsung pada hari ini iaitu jabatan dan agensi baik di peringkat negeri dan persekutuan, NGO, orang perseorangan, hadirin dan hadirat yang hadir untuk memeriahkan dan memberikan sokongan terhadap program yang diadakan pada hari ini dan pihak media yang sentiasa memberikan liputan meluas terhadap program yang dijalankan oleh jabatan dan agensi di bawah Portfolio Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada Ahli Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan oleh Y.Bhg Encik Aziz bin Haji Mohd Gorip di atas kejayaan penganjuran program yang diadakan pada hari ini. Semoga pihak muzium akan terus menjalinkan kerjasama yang erat dengan jabatan dan agensi lain dalam penganjuran program seumpama ini.

Selain daripada majlis perasmian, juga turut diadakan pameran, penyampaian sijil kepada anggota Pasukan ‘F’, tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan, persembahan deklamasi sajak bertajuk Istana Kemerdekaan oleh Fazreen Mohd, Negeri FM dan cabutan bertuah. Tetamu kehormat dan hadirin hadirat yang hadir kemudiannya telah menyanyikan lagu Jalur Gemilang sambil mengibarkan bendera sempena mengambil semangat sambutan bulan kemerdekaan negara yang ke-60.

malaysiasprm
bpajpa
mscmampu
spa
myegspr
mdeclogobm