PROGRAM PERDANA BERMALAM DI MUZIUM NEGERI SEMBILAN
Tarikh : 15 dan 16 September 2017
Tempat : Muzium Negeri, Seremban
Lembaga Muzium Negeri Sembilan telah mengadakan Program Perdana Bermalam Di Muzium di Muzium Negeri, Seremban. Program selama 2 hari 1 malam ini akan disertai oleh pelajar seramai 40 orang daripada Kolej Vokasional Dato’ Lela Maharaja, Rembau. Antara aktiviti yang terdapat dalam program ini adalah Latihan Dalam Kumpulan (LDK), Slot Keagamaan, Persembahan Kumpulan Bertajuk Muzium dan Patriotisme, Tayangan Video Bertajuk Dugaan Negara, Detik-detik Akhir Menjelang Pukul 12.00 Tengah Malam 16 September Sambutan Hari Malaysia, Senamrobik dan Pertandingan Permainan Tradisional.
Majlis perasmian penutup program ini telah disempurnakan oleh Y.Bhg Encik Aziz bin Haji Mohd Gorip, Pemangku Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan. Hadir sama Y.Bhg Encik Tuah bin Abd Manap wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan Y.Bhg Encik Sufian Shah bin Hilaluddin, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Pejabat Pendidikan Daerah Rembau. Menurut Y.Bhg Encik Aziz bin Haji Mohd Gorip program ini telah diadakan serentak di seluruh negara dan bagi pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan inilah buat pertama kalinya program seumpama ini diadakan khusus untuk para pelajar.
Program ini telah disertai oleh 36 buah muzium dengan penglibatan seramai 2,000 pelajar sekolah. Telah dicatat dalam Malaysia Book Of Record sebagai program pendidikan tidak formal teramai. Suka saya nyatakan di sini bahawa tujuan utama program ini diadakan adalah untuk menarik minat para pelajar untuk sentiasa datang ke muzium di samping menjadikannya sebagai pusat pembelajaran selain daripada pendidikan secara formal yang diterima di sekolah.
Selain daripada itu, program yang diadakan selama 2 hari 1 malam ini juga adalah bertujuan untuk menanamkan rasa kasih dan sayang ke dalam pelajar yang menyertai program ini terhadap warisan sejarah dan budaya yang terdapat di negeri ini. Serta menyemai perasaan patriotik di kalangan pelajar pelajar lebih-lebih lagi dibuat sempena sambutan Hari Malaysia.
Melalui program ini juga adalah diharapkan dapat menarik minat para pelajar untuk menceburi kerjaya dalam bidang permuziuman pada satu hari nanti. Di samping itu juga adalah diharapkan para peserta mendapat banyak manfaat dan faedah menerusi pelbagai aktiviti yang telah disusun dan diatur oleh pihak muzium sepanjang program ini berlangsung.
Semoga para pelajar akan pulang dengan suatu ilmu yang baru selepas mengikuti program ini. Peranan muzium bukan hanya sekadar untuk memulihara dan menyimpan khazanah warisan sejarah, budaya termasuk alam semula jadi menerusi pameran dan penyelidikan malahan juga sebagai gedung ilmu pengetahuan.Saya berharap para peserta akan berasa seronok dan gembira sepanjang menyertai program yang berlangsung selama 2 hari 1 malam ini.
Bagi pihak muzium ini bukanlah pertama dan terakhir program seumpama ini diadakan malahan akan berterusan diadakan dengan pelbagai program dan aktiviti untuk sentiasa mendekatkan diri pelajar dengan muzium. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi rasa penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pejabat Pendidikan Daerah Rembau dan pelajar Kolej Vokasional Dato’ Lela Maharaja, Rembau yang telah membantu menjayakan program ini. Tambahnya lagi pada masa yang akan datang pihak muzium berhasrat untuk melibatkan pelajar sekolah di setiap daerah.