PENGGAMBARAN VIDEO KLIP RAYA WANIJA TRAVEL & TOUR (M) SDN. BHD. DI MUZIUM REMBAU
Tarikh : 02 Mei 2018 (Rabu)
Tempat : Perkarangan Muzium Rembau
Wanija Travel & Tour (M) Sdn. Bhd. telah memilih Muzium Rembau sebagai lokasi penggambaran video klip raya. Difahamkan seramai 70 orang kakitangan Wanija Travel & Tour (M) Sdn. Bhd. telah terlibat dalam penggambaran ini. Menurut Y.Bhg Puan Hajah Azizah binti A Karim tujuan mereka memilih Muzium Rembau sebagai lokasi penggambaran video klip tersebut adalah untuk mempromosikan Muzium Rembau sebagai pakej baru di bawah Explore Rembau.
Ujarnya Explore Rembau adalah anak syarikat Wanija Travel & Tour (M) Sdn. Bhd. yang menjalinkan usahasama dengan syarikat-syarikat belia lain di Daerah Rembau. Selain daripada berkolobarasi dengan syarikat-syarikat tersebut Explore Rembau juga turut menjalinkan jaringan usahasama dengan pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan. Salah satu daripada usahasama tersebut adalah melalui penggambaran video klip raya yang diadakan pada malam ini di perkarangan Muzium Rembau. Di samping terlibat dalam penggambaran kakitangan berpeluang mengetahui pengamalan Adat Perpatih menerusi ceramah yang disampaikan oleh Encik Asrul Effendi bin Kamaruzzaman, Penolong Kurator Unit Pendidikan dan Pemasaran Bahagian Pengurusan Muzium Lembaga Muzium Negeri Sembilan.
Katanya slot ceramah ini adalah antara pengisian utama bersempena dengan penggambaran video klip tersebut.Sementara itu Encik Asrul Effendi bin Kamaruzzaman ketika ditemui merakamkan setinggi-tinggi rasa penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga di atas usaha murni yang telah dilakukan oleh pihak Wanija Travel & Tour (M) Sdn. Bhd. mempromosikan Muzium Rembau sebagai destinasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi di negeri ini.
Memang pihak kami mengharapkan pelbagai pihak seperti Wanija Travel & Tour (M) Sdn. Bhd. untuk melakukan program dan aktiviti terutamanya menerusi penggambaran video klip seumpama ini. Melaluinya bukan sahaja dapat mempromosikan Muzium Rembau kepada pengunjung terutamanya daripada luar tetapi juga memberi peluang kepada kakitangan Wanija Travel & Tour (M) Sdn. Bhd. untuk mengetahui sejarah dan latarbelakang institusi pemerintahan Undang Luak Rembau dari dahulu hingga sekarang menerusi pameran dan artifak yang terdapat di Muzium Rembau.
Selain daripada itu, menerusi promosi yang dilakukan oleh pihak Wanija Travel & Tour (M) Sdn. Bhd. juga adalah diharapkan dapat menyumbang ke arah peningkatan jumlah kedatangan pelancong ke Muzium Rembau. Ketika ditanya mengenai jumlah pengunjung yang datang ke Muzium Rembau pada tahun 2017 beliau menjawab bahawa seramai 15,659 orang pengunjung yang terdiri daripada tempatan dan luar negara telah berkunjung ke Muzium Rembau.